Monday, May 18, 2009

7 Ciri Cemerlang Orang yang Positif ++

7 Ciri Cemerlang Orang yang Positif ++



1. Orang yang bersikap positif semakin tercabar, semakin kuat
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!
Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam "exhaust pipe", semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! Itulah yang amat kita kagumi mengenai YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad; semakin tercabar, semakin gagah! Dunia amat mengkagumi keperibadian dan idea-idea beliau. Dunia juga amat mengharapkan pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran Dr. Mahathir.

2. Orang yang positif melihat peluang dalam kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!

Kisah hidup Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk membina penghidupan baru. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun. Lepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Banyak syarikat muflis. Tetapi, Onassis telah nampak suatu peluang. Ia sedar yang tentera Amerika sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang; kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Ia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal itu sudah boleh digunakan. Ia telah gunakan kapal-kapal tersebut untuk mengangkut barang-barang dan minyak untuk diperdagangkan. Onassis telah dapat melihat peluang dalam kegawatan. Manakala, orang lain lebih melihat halangan-halangan dalam kegawatan.

3. Orang yang positif sentiasa berusaha bersungguh-sungguh
Perdana Menteri Inggeris, Harold MacMillan pernah menceritakan tentang nasihat ayahnya, "Mac, kalau kau telah fikir sesuatu perkara itu berguna dibuat, buatlah bersungguh-sungguh".

Semangat waja Paul Getty juga amat baik sekali kita contohi. Menurutnya, untuk mencapai kejayaan, kita perlu membuat dua perkara:

Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!

4. Orang yang positif sentiasa mencari jalan memperbaiki diri
Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata: "Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk dia".
Dengan sikap seperti ini, setiap orang boleh berjaya. Malah dengan bersikap demikian juga, dapat pula ia membawa kejayaan kepada penghidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan memarah-marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara yang membina.

Orang yang positif bertanggungjawab kepada diri sendiri serta tindakan-tindakannya - berdikari. Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk membaiki kehidupannya.

5. Seseorang yang positif tidak menyalahkan keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangan itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.

Napoleon, yang kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermain-mainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar. Tambahan pula, Napoleon ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis. Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa ia lebih baik daripada mereka. Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau menjadi Maharaja Perancis - menakluki tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya, serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.

6. Orang yang positif mendengar dahulu pendapat orang lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak! Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata begitu? Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu terus menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, Presiden Suharto (Indonesia) yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat Indonesia, akhirnya, terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan.

Inilah juga yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin di negara kita sekarang ini. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga tetapi juga dengan mata, hati, dan fikiran terhadap setiap rintihan rakyat (pengundi) sama ada yang tersurat atau tersirat. Jika ini dapat diamalkan, insyaAllah rakyat akan merasa sentiasa terbela dan terus memberi sokongan. Jika tidak, rakyat boleh bertindak balas! Rakyat adalah pelanggan yang mesti diberi layanan yang cemerlang dan kepuasan oleh pemimpin (wakil rakyat).

7. Orang yang positif sentiasa bangun apabila terjatuh
Boleh dikatakan bahawa setiap orang yang mencapai kejayaan pernah jatuh bukan sekali, malah beberapa kali, tetapi, mereka ini dapat bangun semula daripada kejatuhan.

"Orang yang penggamang mati jatuh, orang yang pending mati hanyut."
Bidalan - Pepatah Melayu; Penjelasan:
Penakut tidak dapat apa-apa.

No comments: