Wednesday, June 03, 2009

Monday, May 18, 2009

7 Ciri Cemerlang Orang yang Positif ++

7 Ciri Cemerlang Orang yang Positif ++



1. Orang yang bersikap positif semakin tercabar, semakin kuat
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!
Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam "exhaust pipe", semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! Itulah yang amat kita kagumi mengenai YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad; semakin tercabar, semakin gagah! Dunia amat mengkagumi keperibadian dan idea-idea beliau. Dunia juga amat mengharapkan pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran Dr. Mahathir.

2. Orang yang positif melihat peluang dalam kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!

Kisah hidup Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk membina penghidupan baru. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun. Lepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Banyak syarikat muflis. Tetapi, Onassis telah nampak suatu peluang. Ia sedar yang tentera Amerika sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang; kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Ia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal itu sudah boleh digunakan. Ia telah gunakan kapal-kapal tersebut untuk mengangkut barang-barang dan minyak untuk diperdagangkan. Onassis telah dapat melihat peluang dalam kegawatan. Manakala, orang lain lebih melihat halangan-halangan dalam kegawatan.

3. Orang yang positif sentiasa berusaha bersungguh-sungguh
Perdana Menteri Inggeris, Harold MacMillan pernah menceritakan tentang nasihat ayahnya, "Mac, kalau kau telah fikir sesuatu perkara itu berguna dibuat, buatlah bersungguh-sungguh".

Semangat waja Paul Getty juga amat baik sekali kita contohi. Menurutnya, untuk mencapai kejayaan, kita perlu membuat dua perkara:

Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!

4. Orang yang positif sentiasa mencari jalan memperbaiki diri
Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata: "Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk dia".
Dengan sikap seperti ini, setiap orang boleh berjaya. Malah dengan bersikap demikian juga, dapat pula ia membawa kejayaan kepada penghidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan memarah-marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara yang membina.

Orang yang positif bertanggungjawab kepada diri sendiri serta tindakan-tindakannya - berdikari. Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk membaiki kehidupannya.

5. Seseorang yang positif tidak menyalahkan keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangan itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.

Napoleon, yang kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermain-mainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar. Tambahan pula, Napoleon ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis. Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa ia lebih baik daripada mereka. Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau menjadi Maharaja Perancis - menakluki tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya, serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.

6. Orang yang positif mendengar dahulu pendapat orang lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak! Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata begitu? Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu terus menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, Presiden Suharto (Indonesia) yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat Indonesia, akhirnya, terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan.

Inilah juga yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin di negara kita sekarang ini. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga tetapi juga dengan mata, hati, dan fikiran terhadap setiap rintihan rakyat (pengundi) sama ada yang tersurat atau tersirat. Jika ini dapat diamalkan, insyaAllah rakyat akan merasa sentiasa terbela dan terus memberi sokongan. Jika tidak, rakyat boleh bertindak balas! Rakyat adalah pelanggan yang mesti diberi layanan yang cemerlang dan kepuasan oleh pemimpin (wakil rakyat).

7. Orang yang positif sentiasa bangun apabila terjatuh
Boleh dikatakan bahawa setiap orang yang mencapai kejayaan pernah jatuh bukan sekali, malah beberapa kali, tetapi, mereka ini dapat bangun semula daripada kejatuhan.

"Orang yang penggamang mati jatuh, orang yang pending mati hanyut."
Bidalan - Pepatah Melayu; Penjelasan:
Penakut tidak dapat apa-apa.

Wednesday, May 13, 2009

Motivasi Diri Anda!

Monday, May 11, 2009

Projek Akhir Student Multimedia Sesi 2 2008/2009

Assalamualaikum semua,

Kali ini SPC ingin berkongsi pengalaman mengajar student SPC yang memang la 'nakal' dan bijak. Erm..tau-taula muda remaja.Semua nak explore kan!. Tapi, kalau bab explore untuk ilmu baru memang la liat bukan main. Okla, ini antara projek DDZ2543 (Teknik Rekabentuk Arahan & Alatan Gubahan) yang student buat. Boleh tahan jugak..
:-)





Sunday, May 10, 2009

~@Minda +++ Positif @~

Minda dan Sikap Positif Minda dan Sikap Positif Abd Rashid Abdul Halim

Wednesday, April 01, 2009

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

• Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan.
• Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.

• Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.

• Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

• Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).

• Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.
• Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

• Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

• Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.

• Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.

• Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

• Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

• Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

• Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.

• Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.

• Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.
• Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.

• Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.

• Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
• Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

• Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.

• Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

• Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
• Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.
• Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.

• Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

• Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

• Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
• Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
• Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

• Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.

• Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
• Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.